Sunday, November 21, 2010

Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri Selangor

1. SYARAT-SYARAT KELAYAKAN PERMOHONAN
1.1 Pemohon mestilah terdiri daripada Rakyat D.Y.M.M. Sultan Selangor Darul Ehsan yang memenuhi kriteria-kriteria seperti berikut:
(i) Pemohon lahir di Negeri Selangor; atau
(ii) Ibu atau Bapa pemohon lahir di Negeri Selangor; atau
(iii) Pemohon lahir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum 1 Februari 1974; atau
(iv) Pemohon telah bermastautin lebih dari lima (5) tahun di Negeri Selangor dengan pengesahan daripada ADUN/ Penghulu/ Pengerusi JKKK/ Ketua Kampung.

1.2 Permohonan adalah terbuka bagi peringkat pengajian seperti berikut:
(i) Pinjaman Pelajaran Negeri Selangor: Semua bidang pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda atau Diploma di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)/ Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang diiktiraf oleh Kerajaan serta pengajian peringkat Sijil di Politeknik/ Kolej Komuniti (tidak termasuk Matrikulasi/ Kursus Persediaan/ Tahun Asas/ A-Level/ ACCA/ LCCI/ Ijazah Lanjutan).
(ii) Pinjaman Pelajaran Tenaga Mahir ‘Fast Track’ Negeri Selangor: Bidang kemahiran dan teknikal peringkat Sijil di IPTS yang diiktiraf oleh Kerajaan bagi pengajian dalam tempoh kurang dari satu (1) tahun sahaja.

1.3 Pemohon juga dikehendaki memenuhi syarat-syarat seperti berikut:
(i) Pemohon telah ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian secara sepenuh masa sahaja (pengajian secara jarak jauh (PJJ)/ luar kampus (PLK) tidak layak memohon);
(ii) Pemohon yang belum menerima sebarang penajaan dari lain-lain penaja akan diberi keutamaan;
(iii) Pemohon yang memperoleh pencapaian akademik yang baik akan diberi keutamaan;
(iv) Pemohon bukan pelajar tahun akhir pengajian/ diberi tempoh pelanjutan pengajian;
(v) Pemohon menghadiri dan berjaya dalam sesi temuduga yang diadakan.

2. KADAR TAJAAN PINJAMAN PELAJARAN
Ijazah (Perubatan) : RM7,000.00 (Setahun)
Ijazah (Lain-lain) : RM6,500.00 (Setahun)
Diploma : RM4,900.00 (Setahun)
Sijil : RM4,000.00 (Setahun)

Nota: *Kadar tajaan pinjaman tersebut adalah terpakai bagi pengajian di semua IPTA dan IPTS tempatan.

3. PROSEDUR PERMOHONAN
3.1 Permohonan boleh dibuat bermula dari tarikh makluman iklan tawaran dibuka yang disiarkan melalui akhbar-akhbar utama tempatan atau melalui laman web rasmi Kerajaan Negeri Selangor: http://www.selangor.gov.my, setiap dua (2) kali setahun.

3.2 Pemohon perlu mengisi Borang Permohonan Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri Selangor yang berharga RM3.00. Borang permohonan rasmi tersebut boleh diperolehi melalui:
(i) Kaunter: Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Cawangan Biasiswa & Pinjaman Pelajaran, Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor; atau
(ii) Pos: Dengan mengemukakan sampul surat 16 cm x 23 cm yang dilekatkan dengan setem 50 sen beralamat sendiri beserta wang pos/ money order bernilai RM3.00 atas nama Bendahari Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor ke alamat seperti yang tersebut di bawah.

3.3 Borang permohonan yang telah lengkap diisi hendaklah dihantar sebelum tarikh tutup permohonan ke alamat berikut:
Bahagian Pengurusan Sumber Manusia
Cawangan Biasiswa & Pinjaman Pelajaran
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor
Tingkat 3, Bangunan S.S.A.A.S
40503 Shah Alam

3.4 Borang-borang yang diterima selepas tarikh tutup permohonan atau didapati tidak lengkap tidak akan dipertimbangkan.

3.5 Permohonan yang tidak mendapat sebarang maklumbalas dalam tempoh tiga (3) bulan selepas tarikh tutup permohonan adalah dianggap tidak berjaya.


4. PANDUAN MENGISI BORANG PERMOHONAN
4.1 Pemohon dikehendaki merujuk kepada Panduan Mengisi Borang SP1 hingga SP10 seperti yang terdapat di belakang borang permohonan sebelum mengisi borang permohonan tersebut.

4.2 Pemohon dikehendaki menyertakan semua salinan dokumen sepertimana yang disenaraikan di mukasurat dua (2) Borang Permohonan (Senarai Semak Lampiran Dokumen) dengan menandakan (√) pada kotak yang berkaitan.

4.3 Semua salinan dokumen hendaklah diakui sah oleh mana-mana Pegawai Kerajaan (Kumpulan A/ Pengurusan & Profesional)/ Pengetua/ Guru Besar sahaja, manakala Surat Pengesahan Mastautin (jika pemohon/ ibu/ bapa lahir di luar Negeri Selangor) & Surat Pengesahan Pendapatan (jika ibu bapa tidak bekerja/ pesara/ bekerja sendiri) hendaklah diperakukan oleh ADUN/ Penghulu/ Pengerusi JKKK/ Ketua Kampung sahaja.

4.4 Borang Permohonan yang gagal diisi dengan lengkap atau tidak disertakan dengan salinan dokumen yang diperlukan tidak akan dilayan.

4.5 Tiada surat makluman akan diberikan bagi permohonan yang gagal.


5. SENARAI LAMPIRAN DOKUMEN PERMOHONAN
(i) Salinan SIJIL KELAHIRAN Pemohon;

(ii) Salinan KAD PENGENALAN Pemohon;

(iii) Salinan KAD PENGENALAN Ibu Bapa Pemohon (bagi pemohon bukan lahir di Negeri Selangor sahaja);

(iv) Surat PENGESAHAN MASTAUTIN daripada ADUN/ Penghulu/ Pengerusi JKKK/ Ketua Kampung (bagi pemohon/ ibu bapa bukan lahir di Negeri Selangor sahaja);

(v) Salinan SURAT TAWARAN KEMASUKAN dari Universiti/ Institusi Pengajian;

(vi) Salinan SIJIL BERHENTI SEKOLAH dan SURAT AKUAN (testimonial) (bagi pemohon kemasukan baru melalui SPM/ SPMV/ STAM/ STPM sahaja);

(vii) Salinan Keputusan Peperiksaan SPM/ SPMV/ STAM/ STPM;

(viii) Salinan Keputusan DIPLOMA/ MATRIKULASI/ ASASI (jika berkaitan);

(ix) Salinan KEPUTUSAN PEPERIKSAAN bagi setiap Tahun Akademik/ Semester Pengajian (bagi pemohon selain daripada kemasukan baru/ Tahun Pertama);

(x) Salinan PENYATA PENDAPATAN Ibu Bapa/ Penjaga.


6. BAYARAN BALIK PINJAMAN PELAJARAN
6.1 Setiap penerima Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri Selangor di bawah Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) adalah bertanggungjawab untuk membuat pembayaran balik pinjaman pelajaran berdasarkan jumlah keseluruhan pinjaman yang telah diterima.

6.2 Tanggungjawab peminjam dan penjamin-penjamin bagi melaksanakan bayaran balik Pinjaman Pelajaran tersebut adalah sepertimana yang diperuntukkan menurut Fasal 3 dan 4 Perjanjian Pinjaman Pelajaran yang telah ditandatangani oleh peminjam dan penjamin-penjamin dengan pihak Lembaga TKWBNS.

6.3 Bayaran balik Pinjaman Pelajaran akan dimulakan selepas tempoh enam (6) bulan pelajar menamatkan pengajian.

6.4 Bayaran balik pinjaman perlu dibuat berdasarkan jadual bayaran balik pinjaman secara bulanan yang ditetapkan oleh pihak Lembaga TKWBNS.


PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN SELANGORBAHAGIAN PENGURUSAN SUMBER MANUSIA
CAWANGAN BIASISWA & PINJAMAN PELAJARAN
TINGKAT 3, BANGUNAN S.S.A.A.S
40503 SHAH ALAM

TEL: 03-5544 7480/ 7481/ 7482/ 7543

FAKS: 03-5510 4095/ 5513 5564/ 5544 7391
E-MAIL: tkwbns@selangor.gov.my

No comments: