Wednesday, November 3, 2010

Cadang Tambah Sekolah Tamil Di Kawasan Cheras

KAJANG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Kim Sin mencadangkan supaya sebuah lagi sekolah jenis kebangsaan (SJK) Tamil (T) dibina di kawasan Cheras bagi memudahkan anak penduduk berhampiran.

Kim Sin berkata, sehingga kini, SJK (T) Kajang adalah sekolah Tamil di sini yang mana yang lain berada di luar bandar dan beliau difahamkan bahawa penduduk India di kawasan Cheras dan sekitar menghantar anak mereka ke sekolah itu.

Menurutnya, lebih 1,300 murid didaftarkan di sekolah yang letaknya atas tanah 0.7 ekar dan ia terlalu kecil untuk keluasan sebuah sekolah malah tidak mencapai piawaian.

“Tanah seluas lima hingga enam ekar diperlukan untuk keluasan sebuah sekolah supaya segala prasarana termasuk padang boleh disediakan dan keadaan tidak seperti SJK (T) Kajang ini di mana mereka tidak mempunyai padang sekolah.

“Bagi memastikan murid sekolah ini dapat melaksanakan aktiviti sukan dalam kawasan sekolah mereka maka pihak sekolah terpaksa menambak kawasan di belakang sekolah untuk dijadikan sebagai padang sementara,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, dengan membina sebuah lagi sekolah ia akan mengurangkan beban ibu bapa yang terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah itu dan beliau difahamkan lebih 300 murid adalah dari Cheras dan kawasan lain.

Menurut Kim Sin, malah ada di antara ibu bapa terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan kerana tidak mampu menampung kos perbelanjaan dan tambang berikutan jarak jauh dan mereka tidak berpeluang mempelajari bahasa sendiri.

“Mungkin di sekitar Bandar Mahkota Cheras terdapat beberapa tanah yang boleh dijadikan sebagai tapak sekolah India dan polisi kerajaan pusat juga perlu ditukarkan di mana pembinaan SJK adalah perlu.

“Masyarakat lain juga mempunyai hak untuk belajar dalam bahasa sendiri dan meneruskan budaya serta ketamadunan tetapi mungkin pada zaman dahulu mereka tidak berpeluang dan kini keadaan berubah,” katanya.

Sinar Harian 3/10/2010

No comments: