Tuesday, March 16, 2010

Penduduk Impian Jaya Terdedah Pencemaran

KAJANG – Lebih 200 penghuni empat taman perumahan sekitar Saujana Impian terpaksa hidup dalam keadaan tidak selesa hampir lima tahun berikutan pencemaran bunyi dan debu dialami setiap hari.

Lebih malang lagi, tinjauan Sinar Harian bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Kim Sin; Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Affandi Ramli dan Ong Seng Peng serta beberapa pegawai MPKj mendapati penduduk terpaksa menutup pintu dan tingkap masing-masing bagi mengelakkan pencemaran berkenaan.

Masalah hampir lima tahun
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Impian Jaya, Datuk Zakaria Abd Hamid berkata, penduduk paling teruk menerima kesannya adalah penduduk bertentangan jalan utama melibatkan empat taman perumahan.

Zakaria berkata, penduduk yang tinggal berhadapan jalan utama di Taman Impian Kasih, Taman Impian Jaya, Taman Impian Setia dan Taman Impian Indah terpaksa menahan bunyi bising kenderaan dan debu.

“Masalah utama yang dihadapi penduduk bertentangan dengan jalan utama adalah bunyi bising, debu dan gegaran sehingga ada antara rumah penduduk mengalami keretakan.

“Permasalahan ini hampir lima tahun dan pada asalnya jalan utama itu adalah jalan taman perumahan tetapi sejak pembangunan semakin pesat ia telah dijadikan sebagai jalan pintas bagi dua lebuh raya berbeza,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya, petang kelmarin.

Menurut Zakaria, deretan rumah penduduk di sini terlalu hampir dengan jalan raya walaupun tembok penghalang dibina mungkin masalah bunyi bising dapat diselesaikan tetapi masalah habuk tetap sama.

Beliau berkata, bunyi bising yang terhasil daripada kenderaan ringan dan berat itu hanya akan reda kira-kira jam 3 pagi tetapi kesibukan bermula pada jam 5 pagi apabila masing-masing ingin keluar bekerja.

Asal tiada jalan pintas
Bekas Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Impian Jaya, Lt Kol (B) Dollah Ehsan berkata, dalam pelan asal tidak mempunyai jalan pintas ini dan mereka perlu melalui Jalan Sungai Sekamat tetapi selepas pembukaan fasa baru ia mula dijadikan sebagai jalan pintas.

“Kami dapat merasakan gegaran walaupun berada di dalam rumah setiap kali lori dan kenderaan berat lain melaluinya dan keadaan ini berlarutan dalam satu tempoh yang lama.

“Nilai rumah di sini juga berkemungkinan akan jatuh berikutan masalah yang dihadapi penduduk ini masih belum dapat diselesaikan dan kebanyakan daripada kami tinggal dalam keadaan tidak selesa,” katanya.

Dua cadangan atasi masalah
Sementara itu, Kim Sin berkata, satu alternatif perlu diambil bagi menyelesaikan masalah itu berikutan penduduk sekitar mengalami gangguan bunyi dan debu yang teruk.

Kim Sin berkata, antara cadangan yang diutarakan adalah pembinaan tembok penghalang bagi menghalang bunyi bising dan getaran atau pembinaan jalan pintasan lain untuk ke Lebuhraya Lekas dari Lebuhraya Grands Saga.

“Adalah tidak adil bagi penduduk setempat untuk menahan keadaan ini dan membiarkan ia berlaku secara berlarutan tanpa mendapat keselesaan sempurna di kediaman sendiri dan ia bukan tanggungjawab penduduk tetapi pihak berkuasa tempatan.

“Jika penyerahan jalan raya itu telah dilakukan kepada MPKj, maka mereka perlu bertanggungjawab untuk menyediakan segala infrastruktur itu di kawasan perumahan ini dan tembok penghalang bunyi perlu dibina berhadapan dengan rumah penduduk demi keselesaan kehidupan mereka,” katanya.
Dari berita Sinar Harian

No comments: