Friday, February 26, 2010

PAC Siasat Kawasan TKPM

SHAH ALAM - Lawatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negeri Selangor (Pac) ke beberapa tapak Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Selangor semalam untuk meninjau serta menyiasat keadaan sebenar kawasan berkenaan.

Pengerusi Pac, Lee Kim Sin berkata, siasatan itu dibuat berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini dan satu laporan lengkap mengenainya akan disediakan untuk tindakan susulan.

“Lawatan hari ini (semalam) dibuat berdasarkan laporan daripada Audit Negara baru-baru ini dan laporan itu menunjukkan beberapa tapak taman berkenaan tidak berfungsi dengan baik serta mempunyai banyak kelemahan.

“Oleh itu kita akan meninjau dan meneliti serta melihat bagaimana perkembangan operasi taman berkenaan sebelum menyediakan laporan terhadap perkara itu,” katanya semasa sidang media yang diadakan di sini semalam.

Menurut Lee, terdapat 12 kawasan yang merangkumi 1,300.45 hektar terlibat dalam projek berkenaan.

“Pada tahun 1994, Kementerian Pertanian telah mengarahkan negeri untuk menyediakan TKPM di setiap daerah tetapi selepas 10 tahun kewujudan taman itu, kita dapati banyak kelemahan telah wujud dalam projek berkenaan.

“Malah, ada sesetengahnya tidak mencapai matlamat penubuhan taman terbabit,” katanya.
Lee berkata, Laporan Audit berkenaan turut melaporkan tanah untuk kegunaan TPKM itu belum diwartakan.

“Ini adalah satu perkara yang serius. Selain itu juga Jabatan Pertanian tidak pernah mengadakan sebarang perjanjian dengan pengusaha-pengusaha terbabit dan oleh sebab itu mereka tidak perlu membayar sewa tapak berkenaan.

“Oleh itu kita telah arahkan pihak berkenaan untuk buat perjanjian ini dengan kadar segera,” katanya.

Katanya, laporan itu juga mendapati pengeluaran hasil tanaman dan ternakan tidak mencapai sasaran yang ditentukan.

“Sasaran kita setiap pengusaha mencapai RM3,000 sebulan dan kita juga dapati Jabatan Pertanian belum menjalankan apa-apa rancangan untuk agro pelancongan di kawasan terbabit malah agro pelancongan yang ada sekarang pasif.

“Oleh itu, kita berharap melalui lawatan yang kita adakan ini akan dapat mempertingkatkan dari segi pengeluaran dan urus tadbir,” katanya.

Lawatan sehari itu turut disertai oleh beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seperti ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafei, ADUN Sekinchan, NG Suee Lim, ADUN Damansara Utama, Dr Cheah Wing Sin dan ADUN Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi dan beberapa wartawan akhbar tempatan.

Dari Sinar Harian-26/2/2010

No comments: