Tuesday, September 14, 2010

Jangan Terpengaruh Anasir Luar

KAJANG – Masyarakat setempat disaran supaya tidak mudah terpengaruh pelbagai isu semasa dimainkan anasir luar sebaliknya perlu mendapatkan maklumat lebih sahih daripada pihak berwajib.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Kim Sin berkata, tanpa maklumat tepat masyarakat akan mudah terpengaruh berkenaan sesuatu isu dimainkan anasir luar pada masa kini.

“Pelbagai usaha dan aktiviti dilakukan ke arah menjaga keharmonian negara supaya semua masyarakat bersatu berikutan terdapat segelintir individu yang tidak bertanggungjawab cuba mengapikan supaya perpaduan dibentuk antara kita berpecah belah.

“Kerajaan Negeri juga menunjukkan sistem urus tadbir baik, amanah dan telus dibawah pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim,” katanya kepada Sinar Harian selepas menyampaikan sumbangan kepada 57 keluarga di bawah DUN Kajang.

Kim Sin berkata, Selangor adalah negeri yang kaya dengan hasil dan pengagihan sebanyak RM500,000 diagihkan kepada setiap DUN setahun supaya setiap sen hasil negeri dikembalikan kepada rakyat.

Beliau berkata, kebanyakan masyarakat yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM3,000 sukar untuk menempuh kehidupan mereka di Kajang berikutan kos hidup yang tinggi.
“Jika pendapatan keluarga hanya bergantung kepada seorang ahli keluarga sahaja mata pencarian mereka sememangnya tidak mencukupi dan kadang-kadang keduanya bekerja juga masih tidak cukup.

“Kekangan perbelanjaan juga turut dihadapi mereka kurang berkemampuan, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal kerana pendapatan keluarga perlu ditanggung seorang diri membesarkan anak-anak,” katanya.

Hadir sama, Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat; Ahli Majlis MPKj, Mohd Yusof Bachek.
Dari Sinar Harian 14/9/2010

No comments: