Thursday, April 8, 2010

PASTIKAN SISTEM PENDAWAIAN SELAMAT

KAJANG - Penduduk dan pemilik kedai yang mendirikan rumah dan kedai menggunakan papan dinasihatkan memeriksa sistem pendawaian supaya selamat bagi mengelakkan berlakunya kebakaran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Kim Sin berkata, beliau mendapati kebanyakan sistem pendawaian kedai dan rumah penduduk di tepi jalan sekitar Bukit Dukung dipasang sendiri pemilik.
Baru-baru ini menurutnya, dua pemilik kedai menanggung kerugian apabila kedai mereka terlibat dalam kebakaran sehingga menyebabkan mereka terpaksa menghentikan perniagaan sementara waktu berikutan kemusnahan.
"Dua kedai yang terlibat dalam kebakaran itu adalah kedai santan dan gerai makan, dimana semua peralatan dan barangan musnah dijilat api," katanya kepada Sinar Harian selepas meninjau lokasi kebakaran.
Kim Sin berkata, beliau difahamkan ketika kebakaran berlaku terdapat dua pelanggan sedang menikmati makanan mereka di kedai itu dan dipercayai api mula marak daripada antara dua kedai.
Beliau berkata, tiada peralatan yang dapat diselamatkan dari kedai santan itu, dan difahamkan mereka mengalami kerugian hampir RM50,000, manakal kedai makan itu pula baru memulakan operasi sejak dua bulan lalu.
"Bantuan secara wang tunai diberikan kepada kedua-dua pemilik manakala Pejabat ADUN juga sedang membantu mereka untuk mendapatkan bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

No comments: